TUMPAT | Polis Kelantan merampas 36 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 8.4 kg dadah jenis heroin menerusi serbuan berdekatan Sungai Golok di Tumpat 3 Julai lalu.
Serbuan jam 4.30 petang itu merampas dadah bernilai lebih RM2 juta.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang membuat rondaan Op Tapis di kawasan sempadan.
Katanya, semasa rondaan, pihak polis telah lihat dua lelaki keluar dari tebing menaiki bot enjin galah dan menuju ke Takbai, Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada dua bungkusan di atas batu di tepi tebing sungai dan mengesyaki ada sesuatu mencurigakan.
“Susulan itu, pasukan bertindak membuat pemerhatian selama 15 jam di kawasan itu, namun tiada sesiapa muncul mengambil bungkusan berkenaan.
“Pemeriksaan telah dibuat dan mendapati plastik hitam pertama di dalamnya terdapat satu guni putih berisi 29 bungkusan plastik warna hijau berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 29 kg,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan bungkusan plastik kedua dapati didalamnya mengandungi satu guni berisi tujuh bungkusan plastik warna keemasan berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu seberat tujuh kilogram dan 24 bungkusan warna coklat berisi ketulan mampat warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 8.4 kg.
“Nilai pasaran dadah yang di rampas bernilai RM2,076,000 dan tiada tangkapan dibuat.
“Siasatan lanjut dan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dan penerima dadah yang dirampas.
“Sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti dadah boleh disalurkan ditalian hotline JSJN 012-2087222,” katanya.