By Ismail Muhamad
Menyelusuri arus deras Sungai Kelantan selama 45 minit atau menggunakan kenderaan pacuan empat roda hampir satu jam dengan menaiki perkhidmatan feri dan jalan balak ke Kampung Bahagia dianggap biasa bagi penduduk di perkampungan itu.
Bagi pengunjung atau penduduk di luar dari perkampungan itu, suasana berkenaan dianggap sebagai pengalaman baru yang menarik tetapi cukup mendebarkan terutama jika menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang licin selain berbukit dan curam.
Arahan daripada Editor Journal Malaysia untuk membuat liputan program Outreach Vaksinasi Covid 19 di Kampung Bahagia baru-baru ini satu tugasan tidak seperti penugasan biasa membuat liputan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar bandar atau pekan yang mempunyai jalan perhubungan darat yang selesa dan baik.
Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai mengambil masa lebih satu jam untuk tiba di Tangga Krai iaitu jeti utama untuk menunggu bot penambang yang berulang alik mengambil penumpang ke kampung yang terletak di tepi Sungai Kelantan dalam Mukim Mambong, Kuala Krai.
Pengalaman menaiki bot penambang ke Kampung Bahagia yang terpilih sebagai pusat pendaftaran dan pemberian suntikan vaksin Covid 19 kepada penduduk terbabit cukup menarik walaupun perasaan berdebar menyelusuri arus deras sungai selain bahaya jika terlanggar batu atau kayu.
Bagaimanapun, kecekapan pemandu bot penambang yang dikendalikan penduduk setempat selain pemanduan terbaik oleh bot dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengemudi dan mengawal bot daripada terlanggar kayu dan batu di sungai.
Selain beberapa wakil media yang membuat liputan mengenai program Outreach itu, seramai 50 petugas kesihatan yang siap membawa peti mengandungi ratusan dos vaksin menaiki bot yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai selain penggunaan bot dari PDRM dan JBPM serta bot penambang yang disewa khas oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil.
Bayangkan situasi itu cukup berdebar bagi mereka yang pertama kali menggunakan perkhidmatan bot penambang atau kenderaan pacuan empat roda untuk ke Kampung Bahagia yang terletak di tepi sungai Kelantan.
Perkhidmatan bot penambang adalah nadi utama bagi penduduk di Mukim Mambong untuk ke bandar Kuala Krai dengan perjalanan selama 45 minit selain mereka mempunyai bot sendiri untuk berulang alik dari kampung itu ke bandar Kuala Krai yang dipisahkan dengan Sungai Kelantan.
Selain itu terdapat jalan balak untuk ke Kampung Bahagia sama ada satu jam menggunakan feri di Jeti Batu Lada atau Pasir Kelang, Kuala Krai tetapi perlu diingat sekiranya hujan lebat atau air pasang, perkhidmatan itu tidak boleh digunakan kerana paras air tinggi menyukarkan feri merapatkan pelantar kearah tebing sungai.
Satu lagi laluan darat boleh digunakan sekiranya mahu ke Kampung Bahagia dan sekitarnya di tepi sungai Kelantan itu adalah menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang tidak rata dengan mengambil masa lebih tiga jam melalui Kampung Sokor Tanah Merah.
Bayangkan, kesukaran untuk penduduk di perkampungan tepi sungai Kelantan sekiranya mereka ada urusan ke bandar Kuala Krai, Tanah Merah atau Kota Bharu kerana itu sahaja pilihan yang ada bagi mereka iaitu menggunakan bot penambang atau bot sendiri.
Atas keprihatinan dan fokus kerajaan untuk memberi suntikan vaksin Covid 19 kepada rakyat tanpa mengira di bandar atau kawasan terpencil termasuk penempatan masyarakat Orang Asli, program itu terus diadakan walaupun perlu merentas sungai, menaiki feri atau menaiki kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan balak.
Kegigihan petugas barisan hadapan dari PKD Kuala Krai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah melaksanakan program Outreach dengan sokongan Ketua Jajahan Kuala Krai disambut baik penduduk dari 10 kampung di tepi sungai Kelantan.
Sambutan dan sokongan kepada program kerajaan itu diterjemahkan debgan kehadiran 100 peratus penduduk di kampung berkenaan yang mendaftar dengan PKD Kuala Krai dan mereka melengkapkan suntikan dos vaksin yang diadakan pada 6 Jun dan 27 Jun lalu.
Seperti kata Pegawai PKD Kuala Krai, Dr Hazura Mat Zubir, sikap positif penduduk di tepi sungai Kelantan untuk mendapatkan suntikan vaksin adalah tinggi, malah mereka menyahut seruan kerajaan untuk divaksin walaupun ada dari mereka yang perlu menyelusuri arus deras sungai Kelantan.
Selain Kampung Bahagia, penduduk lain antaranya datang dari Kampung Mambong, Sungai Rimau, Pasir Tinggi, Kampung Bantuan, Kluat, Piso, dan Rubber.
Malah, suntikan vaksin untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Kluat dilaksanakan PKD Kuala Krai dan barisan petugas kesihatan perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan merentasi sungai menggunakan perkhidmatan feri di Jeti Batu Lada.
Pelaksanaan program Outreach vaksinasi Covid 19 ke perkampungan tepi sungai Kelantan diadakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk kerana mereka perlu menyelusuri arus deras sungai menggunakan bot penambang atau bot sendiri untuk ke PPV di bandar Kuala Krai.
Malah, banyak membantu adalah Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil yang turut menggerakkan jenteranya selain sokongan pemimpin masyarakat setempat seperti Imam Masjid Kampung Bahagia dan Penghulu dengan penyediaan lojistik dan tenaga bagi melancarkan program Outreach ke perkampungan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hilmi Abdullah turut memuji sikap positif penduduk serta sokongan pelbagai pihak dan agensi kerajaan pusat dan negeri sangat tinggi dalam menjayakan program Outreach di kawsan perkampungan itu.
Katanya, contoh terbaik seorang warga emas dipercayai berumur 105 hingga 110 tahun, Mamat Mohd Ali turut melengkapkan suntikan vaksin, sekaligus memperlihatkan kewajaran program Outreach Vaksinasi Covud 19 adalah berjaya dilaksanakan pihak kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sebanyak 80 peratus.
“Kampung-kampung ini adalah terletak di kawasn terpencil tepi sungai Kelantan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil.
“Perhubungan ke kampung ini adalah perlu merentasi sungai dengan bot penambang atau bot sendiri oleh penduduk terbabit selain menaiki feri dan semuanya menyukarkan pergerakan mereka sekiranya suntikan vaksin hanya diadakan di PPV di bandar Kuala Krai,” katanya.