KUALA LUMPUR | Provokasi dan penghinaan kepada Islam yang telah dilakukan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang disifatkan keterlaluan dan sangat melampau.
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, sekiranya beliau tidak berpuas hati terhadap kerajaan, jangan dikaitkan dengan sensitiviti agama Islam.
Katanya, perbuatan biadab Lim Kit Siang memutar belit kenyataan Presiden PAS sehingga menghina Allah dengan perkataan ‘Kerajaan Allah’ mesti diambil tindakan tegas dan segera oleh pihak berkuasa.
“Presiden PAS menjelaskan bahawa Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk menghapuskan wabak COVID-19, adapun manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan.
“Sekiranya benci kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, usah biadab sehingga meletakkan kelemahan pemerintahan itu kepada Tuhan umat Islam.
“Lemah adalah sifat mustahil bagi Allah SWT. Sepatutnya beliau lebih berhati-hati dalam menuturkan pandangan kerana ini berkait dengan soal akidah umat Islam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam adalah agama bagi negara ini.
Katanya, tindakan yang melanggar perlembagaan dan menyentuh sensitiviti umat seperti ini akan mengeruhkan lagi keharmonian antara kaum yang sedia ada di Malaysia.
“Dalam pada itu, perbuatan Lim Kit Siang dilihat cuba menghasut bagi menanamkan kebencian kepada kerajaan sekali gus menghina Yang Dipertuan Agung dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama boleh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 jika disabitkan kesalahan.
“PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar teguh istiqamah mempertahankan kesucian Islam dan perpaduan ummah daripada dihina dan dicerca oleh mana-mana pihak. Kebiadaban yang telah berkali-kali berlaku mesti dihentikan segera,” katanya.