By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Tukang gunting rambut menyuarakan rasa lega dengan kebenaran operasi sektor kedai gunting rambut susulan kemasukan Kelantan dalam peralihan Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam.
Peralihan dari fasa satu kepada fasa kedua itu membolehkan kedai gunting rambut meneruskan operasi seperti biasa, sekali gus memberi nafas kepada tukang gunting yang turut terjejas dari segi pendapatan mereka.
Tukang gunting rambut, Syukri Omar, 27, dari bandar ini menyuarakan rasa syukur kerana peralihan Kelantan ke fasa kedua PPN membuka peluang kepada dirinya serta rakan sekerja lainnya dapat meneruskan kerja seperti biasa.
Katanya, tukang gunting rambut turut terkesan dengan penutupan operasi kedai gunting disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berikutan pandemik Covid 19 .
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana kebenaran operasi kedai gunting rambut yang disenaraikan dalam Fasa Kedua PPN.
“Dengan peralihan Kelantan dalam Fasa Kedua PPN itu, ianya membuka peluang kepada pemilik kedai gunting rambut memulalan operasi sektor itu seperti biasa,” katanya ketika ditemui sedang mengunting rambut pelanggan di sini, hari ini.
Kelantan adalah antara lima negeri terawal di negara ini yang tersenarai dalam peralihan fasa kedua PPN selain Perlis, Perak, Terengganu dan Pahang.
Menurut Syukri, pada hari pertama operasi kedai gunting rambut, dia serta lima rakan sekerja lainnya di kedai itu menerima 50 pelanggan dengan waktu operasi dari 12 tengah hari hingga 7 malam.
Katanya, sebagai pekerja, dia serta lima rakan sekerja sentiasa menitikberatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran yang ditetapkan pihak kerajaan.
Malah katanya, pelanggan juga memberi kerjasama yang baik dan mematuhi SOP yang ditetapkan kepada mereka sebelum dibenarkan masuk untuk menggunting rambut.
“Dengan operasi kedai gunting rambut dibenarkan dalam fasa kedua PPN, kita kena jaga SOP supaya semua peraturan ditetapkan kerajaan dipatuhi sebaik mungkin.
“Kebenaran operasi kedai gunting rambut mampu memberi kelegaan kepada saya dan rakan sekerja lainnya kembali bekerja seperti biasa kerana itu adalah punca rezeki kami selama ini, ” katanya.
Seorang pekerja swasta, Samsuri Ahmad, 35, berkata, dia menyambut baik operasi kedai gunting rambut dibenarkan dalam fasa kedua PPN.
Katanya, kesukaran bagi orang ramai untuk merggunting rambut sejak operasi sektor itu tidak dibenarkan dalam fasa pertama PPN menyukarkan mereka.
“Syukur kerana kes Covid 19 di Kelantan sekarang menurun berbanding bulan lalu yang tinggi.
“Saya harap kes Covid 19 terus berada pada tahap rendah supaya dapat berada pada fasa ketiga bagi membolehkan ruang lebih luas untuk kegiatan rakyat dapat dilakukan selain lebih banyak sektor ekonomi lain dapat dibuka,” katanya.