KOTA BHARU | Sebanyak 75 kenderaan yang lucut hak akan dibuka untuk tawaran sebut harga oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tawaran sebut harga itu akan bermula jam 8 pagi 11 Julai hingga 12 tengah hari 19 Julai ini.
Katanya, tawaran sebut harga itu dilaksanakan bagi menggelakkan orang ramai berkumpul di pejabat sekali gus untuk mengekang penularan COVID-19.
“Ia berbeza dengan lelongan awam kerana orang ramai perlu datang pada hari lelongan kenderaan yang akan menyebabkan orang ramai berkumpul.
“Pelbagai kenderaan yang ditawarkan termasuk Toyota Wish, Honda Odyssey, Honda Jazz, Protan Saga dan Proton Iswara yang bermula RM120 sehingga RM11,800.
“Nilai deposit sebut harga adalah lima peratus daripada harga tawaran dalam bentuk bank draf dan kiriman wang sahaja atas nama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pembida perlu membaca serta memahami terma dan syarat-syarat sebut harga yang telah ditetapkan.
Katanya, semua lot adalah dijual dalam keadaan ‘seadanya’ dan pastikan pembida melihat kenderaan-kenderaan sebelum menyebut harga.
“Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi Unit Pengurusan Sita JPJ
Negeri Kelantan atau hubungi di talian 09-7666905/09-7666117.
“Boleh juga layari laman rasmi Facebook JPJ Negeri Kelantan di https://www.facebook.com/JPJNegeriKelantanOfficial,” katanya.