LONDON | Pengendali Itali, Roberto Mancini memberi amaran kepada skuad kendaliannya bahawa ‘ini belum berakhir’ apabila mereka menewaskan Sepanyol menerusi sepakan penalti penentuan sekali gus mara ke final Kejuaraan Eropah 2020 pagi tadi, lapor AFP.
“Pujian kepada pemain tetapi ini belum berakhir,” kata Mancini selepas kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti penentuan susulan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit perlawanan.
“Kita perlu mengembalikan semula tenaga, ia aksi yang sukar. Saya tahu ini akan menjadi aksi paling mencabar dalam pertandingan ini. Aksi keenam kami, ia pasti memenatkan tetapi kami mahu ke final.”
Jaringan lencong Federico Chiesa membolehkan Azzurri terlebih mendahului namun pemain gantian, Alvaro Morata meledak gol penyamaan buat La Roja pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun, Morata gagal menyudahkan sepakan penalti penentuan sama seperti pemain Itali, Manuel Locatelli yang gagal menyempurnakan sepakan pertama buat pasukan itu.
“Sepakan penalti penentuan adalah loteri,” kata Mancini.
“Ia aksi yang sengit kerana Sepanyol adalah pasukan yang hebat. Mereka bermain sangat baik. Kami bermain dengan baik juga walaupun tidak seperti biasa tetapi kami tahu ia tidak mudah.
“Mereka memberi kesukaran sejak dari awal permainan tetapi kita menemui jalan dan tidak begitu mengambil risiko.
“Kami layak untuk ke final. Ia tidak mudah dan ramai yang tidak percaya yang kami akan ke final.”
Itali yang memburu kejuaraan Eropah pertama sejak 1968 akan bertemu England ataupun Denmark yang akan berentap, pagi esok.
Tamat