JAKARTA | Indonesia melanjutkan langkah sekatan di seluruh negara dalam usaha mengekang penularan COVID-19 berikutan kematian semakin meningkat, selain amaran situasi menjadi lebih buruk.
Lapor AFP, sekatan itu akan dilaksanakan ke atas puluhan bandar dan meluaskannya dari barat pulau Sumatera hingga ke paling timur Papua kerana varian Delta yang merebak begitu cepat.
Menteri Kanan, Airlangga Hartarto, berkata kes jangkitan juga meningkat di wilayah lain dan perlu memberi perhatian kepada persediaan hospital.
“Kerajaan sudah memutuskan untuk melanjutkan tempoh sekatan berkenaan hingga 20 Julai ini,” katanya.
Sementara itu, hospital juga berdepan tekanan berikutan kebanjiran pesakit dan minggu ini kerajaan melaksanakan sekatan di ibu negara Jakarta, Jawa dan di pulau Bali memandangkan semalam ia mencatatkan 31,189 jangkitan baru dan 728 kematian.
Hari ini, kawasan yang dilaksanakan sekatan mengumumkan jumlah kes harian jauh lebih rendah daripada pusat COVID-19 di Jawa, tempat tinggal separuh daripada 270 juta penduduk di Indonesia.
Hartarto berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terhad di beberapa wilayah berkenaan kini berada dalam keadaan tertekan berikutan pertambahan kes hingga membolehkan ia lumpuh.
“Kemudahan di wilayah-wilayah itu terbatas dan sudah melebihi kapasiti,” katanya sambil menambah bahawa peraturan yang lebih ketat mungkin berlaku jika jangkitan terus meningkat.
Sekatan yang lebih luas termasuk memaksa sebahagian besar pekerja tidak penting untuk bekerja dari rumah dan mengehadkan waktu operasi kedai dan restoran.
Masjid dan gereja di negara majoriti Muslim itu juga ditutup di kawasan berisiko tinggi.
tamat