KUALA LUMPUR | PAS yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri akan dapat membantu Perdana Menteri dalam menguruskan negara.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Ismail Sabri juga dapat menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan pandemik COVID-19.
Katanya, parti itu dan seluruh kepimpinan PAS serta ahli mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan berkenaan.
“PAS yakin pelantikan Ismail Sabri adalah amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang Menteri dan Menteri Kanan serta merupakan pemimpin UMNO paling kanan dalam kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.
“PAS yakin beliau akan dapat membantu Perdana Menteri dalam menguruskan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, PAS turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan.
“Beliau yang juga merupakan anggota kanan dalam kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua anggota kabinet yang lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarangsa,” katanya.