KUALA LUMPUR | Lebih 1,800 keluarga B40 dari Semenanjung yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerima bantuan wang tunai dengan nilai lebih RM1 juta menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP).
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Tabung WTP yang adalah wadah untuk warga kerja TNB bagi membantu rakyat yang memerlukan.
Katanya, tabung itu dilancarkan pada 9 Jun lalu yang juga inisiatif selari dengan kesungguhan syarikat menerangi kehidupan penduduk negara ini.
“Selain warga kerja TNB yang menyumbang kepada tabung dengan nilai lebih RM1.52 juta, terima kasih juga saya ucapkan kepada pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman TNB yang bersepakat menubuhkan tabung.
“Pelbagai pihak juga membantu kami mengenalpasti penerima bantuan.
“Secebis bantuan daripada kami ini diharap mampu mengukir senyuman dan membawa rasa bahagia kepada penerima bagi menempuhi tempoh yang agak sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung ini adalah manifestasi nilai murni budaya syarikat iaitu, prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh TNB membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, TNB juga menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi dalam menyokong usaha PPN.
“TNB juga menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi dalam menyokong usaha PPN.
“Alhamdulillah, menerusi maklum balas penerima berbilang bangsa, rata-ratanya menyatakan bantuan Tabung WTP dapat meredakan kesusahan keluarga masing-masing,” katanya.