KUALA LUMPUR | Sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit telah dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta tahun lalu.
Getah pula mencatatkan nilai eksport sebanyak RM184 juta, manakala untuk subsektor koko sebanyak RM87 juta telah berjaya dicatatkan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.
“Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangi perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara itu.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Dr Nigena Gamea, persetujuan dicapai untuk Memorandum Persefahaman bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya melibatkan kayu getah.
“Kita juga meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian melibatkan teknologi getah dimiliki negara seperti teknologi ‘seismic bearing’ yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut. Begitu juga dengan teknologi tauar Ecoprina yang dimiliki oleh Lembaga Getah Negara (LGM),” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, dalam mesyuarat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Arab Saudi ke Mesir untuk pertemuan itu, beberapa isu teknikal melibatkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara teperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di Mesir dan Afrika Utara.
Katanya, Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi dan bidang utama perniagaannya ialah pemakanan.
“Kumpulan Savola juga bersetuju untuk meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Timur Tengah.
“Alhamdulillah saya berpeluang selama 4 hari berada di bumi Kaherah, Mesir dalam lawatan kerja rasmi sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula 3 hingga 6 Julai lalu,” katanya.