by Nor Shazleza Shahril
MACHANG | Seorang ibu tunggal berterima kasih kepada barisan hadapan yang prihatin terhadap kesusahan yang dialaminya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini.
Janila Zakaria, 40 tahun, yang tinggal di Banggol Judoh di sini berkata dia kini tidak bekerja dan hilang punca pendapatan hanya mampu bergantung hidup dengan wang pemberian anak sulung yang bekerja kampung dengan bayaran sebanyak RM35 sehari.
“sebelum PKP saya bekerja di sebuah kedai makan berdekatan dengan bayaran sebanyak RM30, tapi kini saya tiada punca pendapatan kerana kedai makan telah ditutup dan tidak dapat beroperasi”.
“dengan wang yang diberikan itu saya perlu menyara 6 ahli keluarga yang tinggal bersama termasuk ibu yang telah uzur”.
“bantuan bakul makanan yang disumbangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan keluarga saya buat masa ini,”.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy bersama-sama anggotanya.
Menurut beliau, sumbangan diagihkan menerusi Ops Bantu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Skuad Aman Wanita (AMANITA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing.
“untuk hari ini, sebanyak 10 keluarga yang terjejas akibat pandemik di daerah ini akan diberikan bantuan berbentuk bakul makanan dan setiap satu berharga RM50”.
“sumbangan ini diharapkan dapat memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan dan ini juga menjadi tanggungjawab pihak kami bagi membantu keluarga yang dalam kesusahan”.
Tambahnya, individu yang terputus bekalan makanan diminta memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan boleh juga hadir ke IPD berdekatan untuk mendapatkan bantuan.