KOTA BHARU | Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, adalah satu langkah tepat dan betul untuk jangka masa panjang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan juga disambut baik.
Katanya, beliau melihat pelantikan kedua-dua menteri adalah satu langkah yang sangat tepat.
“Ia langkah yang tepat untuk membawa kestabilan dalam jangka masa yang panjang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kita juga banyak mendengar khabar dari Ahli Parlimen UMNO yang akan menarik diri dan sebagainya. Jadi saya berasakan bahawa langkah yang diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha untuk mengukuhkan kerajaan PN.
“Ini merupakan satu langkah yang tepat dan satu keputusan yang matang kerana kita melihat ini adalah demi untuk menstabilkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, apabila kerajaan PN stabil, agenda rakyat dapat diteruskan di dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu berkata, agenda rakyat adalah yang paling utama dan niat serta hasrat kerajaan PN adalah satu iaitu menjaga kepentingan, keselamatan serta kebajikan rakyat.
“Kerajaan juga mahu memastikan pucuk pimpinan negara dalam keadaan stabil dan langkah yang dibuat hari ini adalah satu proses yang begitu tepat.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka,” katanya.