BUTTERWORTH | Peniaga di sini lega dan bersyukur apabila dapat menjalankan semula perniagaan mereka selepas Pulau Pinang beralih ke fasa dua kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Pengurus Hasani Books & Stationary Malaysia, Nor Mohd Faizal Abdul Wahid berkata, beliau lega diberi kebenaran untuk membuka semula premisnya yang terletak dekat Perai, di sini selepas lebih sebulan tidak beroperasi.
“Kami dalam proses menyemak stok barangan serta melakukan kerja pembersihan di kedai sebelum buka semula dan berharap selepas ini semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, sepanjang fasa satu, pihaknya menerima banyak panggilan daripada pelanggan yang rata-rata memerlukan pelbagai kelengkapan seperti kertas A4, alat tulis serta buku latihan dan buku rujukan ilmiah memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah serta bekerja dari rumah tetap berjalan.”Ramai juga pelanggan merungut sebab banyak keperluan tidak dapat dicari malah semua industri seperti pejabat termasuk pusat pemberian vaksin yang ada sekarang juga memerlukan alat tulis, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)… jadi banyak industri yang memerlukan alatan tulis dan buku sebenarnya,” katanya yang berharap kerajaan memasukkan kedai menjual alat tulis dan buku ke dalam senarai perkhidmatan penting ketika PPN.
Pengusaha kedai alat ganti motosikal yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Lin pula berkata, pihaknya melakukan kerja pembersihan premis yang terletak dekat Bukit Tambun, Simpang Ampat di sini serta mengemas kini tempahan yang diterima secara dalam talian.
“Sepanjang kedai tutup, memang kami menumpukan tempahan melalui dalam talian sahaja. Meskipun agak memeritkan, kami berharap peralihan ke fasa dua dapat memberi sinar kepada sektor yang terjejas,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk Pulau Pinang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu adalah berdasarkan pencapaian Pulau Pinang bagi nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000 manakala kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi di tahap sederhana dan penilaian kapasiti untuk memberikan maklum balas berada pada tahap memadai serta kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus.