KUALA LUMPUR | Jumlah purata kes baharu harian selama 7 hari (30 Ju hingga 6 Julai) adalah sebanyak 6,539 kes.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan ia didapati masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk).
Katanya, nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa.
“Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak dan Pahang.
“Lebih membimbangkan, tren kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi. Ianya tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 Jun hingga 12 Jun), di mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus.
“Petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gelaja burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Katanya, empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital (>38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk) adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menunjukkan, kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama 7 hari kebelakangan ini.
“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri itu akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.
“KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan,” katanya.