KUALA LUMPUR | Semua ahli parlimen diharap mengetepikan segala agenda peribadi, sebaliknya memberi tumpuan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memerangi pandemik dalam persidangan Parlimen nanti.
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, turut mengalu-alukan pengumuman Pejabat Perdana Menteri berhubung kesediaan kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan bermula 26 Julai ini.
Katanya, ia sejajar dengan sistem demokrasi dan keperluan peruntukan perlembagaan di mana sidang ini perlu digunapakai secara optimum dalam mencapai objektif penerangan dan pembentangan berkaitan Ordinan Darurat 2021 serta situasi semasa pandemik serta pelan pemulihannya.
Tambah beliau, ahli parlimen juga perlu mengutamakan proses mendapatkan penerangan yang sewajarnya, melontarkan pandangan konstruktif, serta membantu pasukan kerajaan dalam usaha pemulihan.
“Saya berharap ahli parlimen tidak mengusik sistem kerajaan yang sedia-ada, tidak melancarkan sebarang rampasan kuasa persekutuan, dan tidak beragendakan impian politik peribadi”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dominic Lau juga mengucapkan syabas kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang berjaya mencapai angka harian pemberian vaksin COVID-19 melebihi 300,000 dos pada Isnin dan Selasa, selain jumlah pemberian vaksin setakat semalam melebihi 9.6 juta dos.
“Ia jelas menunjukkan komitmen dan segala usaha yang dirancang oleh kerajaan berada dalam landasan tepat dan bersasarkan pemulihan.
“Dengan usaha kerajaan melalui pemerkasaan pemberian vaksin, penelitian situasi semasa melalui setiap fasa pemulihan dan pake rangsangan ekonomi, saya berharap persidangan parlimen yang akan datang terus mengutamakan rakyat dan kebajikannya.
“Tidak ada puak yang cuba membelakangkan keutamaan kepada rakyat dengan sebarang usaha rampasan kuasa. Kini kita perlu bersatu demi rakyat dan Malaysia, bukan masa untuk berpolitik,” katanya.
Tamat