TURIN | Maurizio Sarri mengakui bukan mudah untuk menguruskan Cristiano Ronaldo memandangkan bintang Portugal itu turut mempunyai ‘kepentingan peribadi’.
Pengendali dari Itali itu pernah bekerjasama dengan pemenang lima kali Ballon d’Or berkenaan selama semusim di Juventus dengan gandingan mereka menjuarai gelaran Seria A.
Namun selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Lyon, pengendali itu dipecat dan tempatnya digantikan legenda kelab, Andrea Pirlo bagi kempen 2020/21.
Sarri yang tidak mengendali mana-mana pasukan sejak meninggalkan Juve, mendedahkan betapa Ronaldo menyukarkannya untuk memberikan sepenuh tumpuan dalam pengurusan bola sepak.
Sarri, 62, berkata: “Menguruskan Ronaldo bukan mudah, baik dalam mana-mana sudut sekali pun.
“Dia boleh dianggap sebagai sebuah syarikat multinasional, dia mempunyai kepentingan peribadi yang mesti bertepatan dengan bola sepak.
“Keinginannya itu melangkaui kebiasaan, melangkaui pasukan mahupun kelab. Saya seorang jurulatih bukannya pengurus. Ronaldo bagaimanapun, memberi impak pada penghujung tahun.
“Namun sejak beberapa tahun ini, saya lebih banyak mendengar mengenai pemain berbanding pasukan.”
Ronaldo dikatakan bakal mengangkat kaki dari Juventus, dengan Paris Saint-Germain dan bekas kelabnya Manchester United tampak berminat mendapatkannya.
Ditanya sama ada Ronaldo bakal kekal di Juventus ataupun sebaliknya, bekas pengendali Chelsea itu membayangkan: “Ia bergantung kepada keperluan kelab.
“Sekiranya mereka perlu menjimatkan gaji maka mereka perlu membuat pilihan.
“Pada pandangan saya, lebih baik melepaskan seorang pemain berbanding lima atau enam pemain dengan jumlah penjimatan yang sama.”