by Nor Shazleza Shahril
PASIR MAS | Tiga beradik ditangkap pihak polis dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai RM195,200 ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tok Pelanduk, Bukit Tuku, di sini, semalam.
Hasil tangkapan itu menemui 8,000 biji pil kuda dan 3,247 gram dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata tangkapan suspek pertama pada serbuan jam 12.50 tengah hari, membabitkan seorang buruh berusia 33 tahun.
Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa namun tidak menemui sebarang barangan yang salah.
“Bagaimana pun, hasil pemeriksaan di luar kawasan rumah menemui bungkusan plastik yang mengandungi 2,000 biji pil kuda yang diletakkan di dalam semak. Manakala, pencarian diteruskan lagi dan menemui satu tin cat tanpa penutup yang berisi 6,000 pil kuda di dalamnya.
“Anggota terus membuat pemeriksaan di semak belakang rumah suspek sebelum menemui satu batang paip PVC berongga yang ditutup dengan plastik berwarna merah, di dalamnya mengandungi 3,247 gram syabu.
“Susulan daripada kes serbuan pertama, anggota sekali lagi ke rumah berkenaan pada jam 2 petang, hari yang sama dan menemui dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun yang juga adik beradik kepada suspek pertama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua beradik itu turut ditangkap kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.
Jelasnya, hasil serbuan itu juga, pihaknya wang tunai RM4,000 di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dipercayai hasil jualan dadah, selain dua kereta jenis Honda Civic serta Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha Y15.
“Mereka tiga beradik kemudian menjalani ujian saringn air kencing dan mendapati hanya suspek pertama negatif manakala dua lagi abangnya positif dadah jenis Methamphetamine.
“Bagaimana pun, suspek pertama mengakui kesemua dadah yang ditemui adalah miliknya dan usaha mengesan pembekal dadah masih diteruskan.
“Semakan yang dilakukan juga mendapati tiga beradik ini mempunyai rekod lampau membabitkan penyalah gunaan dadah,” katanya.