KOTA BHARU | Seramai 21,802 orang terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) di 82 lokasi seluruh negara telah menerima manfaat daripada program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dikenali sebagai MAFI Prihatin bermula 27 Mei lepas.
Lapor BERNAMA Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata manfaat berupa sumbangan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Sejak pelaksanaan program itu sebanyak 37.51 metrik tan makanan telah disalurkan kepada 21,802 penerima.
Advertisement
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 425 usahawan tani dalam memasarkan 44 jenis hasil pertanian dan produk mereka yang menghadapi kesukaran untuk dipasarkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 80 petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah FAMA Kelantan Wan Nora Wan Ahmad, Penasihat Kompleks Pemasaran FAMA Kelantan Mohd Ariffin Awang dan Penyelaras PPV Dewan Sri Tunjong Dr Nik Insusinarti Shafei.
Mengenai program MAFI Prihatin di Kelantan, Che Abdullah berkata seramai 716 penerima terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan NGO di lapan lokasi seluruh negeri telah mendapat manfaat daripada program itu.
“Jumlah keseluruhan sebanyak 2.9 metrik tan sayur-sayuran dan buah-buahan telah diagihkan. Seramai 16 usahawan tani di negeri ini juga telah berjaya memasarkan 15 hasil pertanian dan produk mereka,” katanya.