TUMPAT | Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor merampas 38 ekor kambing dipercayai untuk korban serta sebuah motolori jenis Isuzu di tepi jalan di Kampung Jubakar, di sini, pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, rampasan dibuat jam 4.30 pagi tadi ketika Unit Risikan Marin (URM) menjalankan tugas pemantauan dan risikan.
Katanya, sebelum rampasan dilakukan, empat anggota yang menjalankan Op Benteng (Op. Landai / Op. Kontraban) telah mengesan sebuag motolori dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari perkara itu, anggota bertindak mengekori motolori tersebut. Menyedari diekori pemandu tersebut telah memecut laju dan membelok ke lorong di dalam Kampung Jubakar.
“Suspek kemudiannya bertindak memberhentikan kenderaan secara mengejut dan kelihatan dua orang lelaki keluar melarikan diri dalam keadaan gelap serta meninggalkan motolori yang masih hidup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Rudzuan berkata, anggota URM cuba untuk mengesan suspek di kawasan berhampiran, namun gagal.
Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati motolori tersebut digunakan untuk mengangkut 38 ekor kambing.
“Setelah menunggu hampir 30 minit tiada sesiapa yang tampil mengaku milikannya, PPM merampas kesemua barang kes dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor Untuk dibuat laporan polis dan tindakan lanjut.
“Rampasan dianggarkan bernilai RM88,000 termasuk motolori RM50,000 dan 38 ekor kambing bernilai RM38,000.
“Kes disaiasat mengikut Seksyen 6/(3) dan 36 (1) Akta Binatang 1953,” katanya.