KUALA LUMPUR | Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini sepakat untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara pada hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, pendirian itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi
(MKT) UMNO malam tadi, di mana ahli Parlimen diberi kebebasan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya.
Menurut kenyataan itu, sokongan itu berterusan jika berlaku sebarang pengundian dalam sesi Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos ini.
“Apa yang menjadi keutamaan ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Pandemik COVID-19.
“Dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik.
“Sehubungan itu, ahli Parlimen menyokong Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat,” menurut kenyataan itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang medianya awal pagi tadi, mengumumkan parti itu menarik balik dan menamatkan serta-merta sokongan kepada Muhyiddin.
Ahmad Zahid mendakwa, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan.
Tamat