KUALA LUMPUR | Jumlah kes harian Covid-19 di Selangor dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan kontak rapat dan saringan terhadap individu yang bergejala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata aktiviti kesihatan itu membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.
Beliau berkata, KKM juga menjalankan saringan terhadap 10 peratus penduduk yang tinggal di kawasan PKPD berkenaan dan keutamaan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi.
“Justeru, jumlah kes harian COVID-19 dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti kesihatan awam berkenaan.
“Selangor telah menyumbang sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes bagi tempoh 1 Julai hingga 7 Julai berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 Jun hingga 30 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Menurutnya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula menyumbang sebanyak 13.01 peratus pada tempoh 1 Julai hingga 7 Julai berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 Jun hingga 30 Jun.
“PKPD yang dilaksanakan adalah berdasarkan penilaian risiko di kawasan tersebut.
“Hasil saringan bersasar ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara di negeri yang berada di bawah PKPD tersebut,” katanya.
Tamat