KUALA LUMPUR | Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan yang dibuat Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disiapkan sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diadakan semalam.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar, maka sekali lagi MKT di permainkan dan ianya amat serius.
“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi,saya di hubungi beberapa ahli MKT yg menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MKT.
“Pagi ini, apabila saya menjenguk kumpulan WhatsApp Ketua UMNO Bahagian (KUB), ramai yg mengeluh dan dalam kekeliruan dengan kenyataan media Presiden.
“Terdapat juga KUB yg juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat yang dibuat semalam,” katanya dalam kenyataan Facebook miliknya.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, mengapa perkara itu terjadi, lain dibincang, lain pula rumusan.
Katanya, 25 ahli MKT telah bercakap, dalam suasana yang agak tenang dan jujur memberi pendapat.
“Jelas banyak pendapat yg berbeza, tiada consensus yg ketara, Tiada undian di buat.
“Malah perbincangan tidak berkisar pada sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional seperti yang dimomokan sebelum ini, termasuk pendirian yang di pohon daripada pertemuan secara berasingan dengan ahli MKT” katanya.
Menurutnya, dalam kata lain Presiden UMNO wajib menjelaskan kedudukan sebenar dan segera keluarkan kenyataan yang benar.
“Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” katanya.