By Ismail Muhamad
TANAH MERAH | Pemandu Lori kawasan Tanah Merah dan Jeli kini sangat terkesan dan terjejas teruk kerana hilang punca pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kerana lori tidak dapat beroperasi membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah.
Sehubungan itu pemandu lori terbabit memohon kerajaan negeri membuka semula operasi kuari pasir dan batu supaya lori dapat kembali beroperasi membawa muatan pasir, batu dan tanah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Wakil jurucakapnya, Zulkifli Yunus berkata, terdapat 800 buah lori kini tersadai di dua kawasan itu berikutan operasi kuari pasir dan batu masih tidak dibenarkan kerajaan negeri ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Katanya, pemandu lori terkesan teruk kerana hilang pendapatan untuk menyara keluarga, malah ada daripada mereka terpaksa menyorok kenderaan berat itu bagi mengelak ditarik pihak bank disebabkan mengalami tunggakan ansuran bulanan.
“Saya sedih melihat keadaan pemandu lori yang mengalami kesan teruk termasuk menggadai barang kemas isteri untuk melangsaikan hutang atau tunggakan bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank selain bagi menyara keluarga disebabkan tidak dapat jalankan kerja.
“Kerajaan negeri perlu melihat semula isu berkaitan dengan pemandu lori yang terkesan kerana lori tidak dibenarkan beroperasi membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah sejak PKP 3.0 atau total lockdown,” katanya ketika ditemui di Kampung Jedok, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau meninjau sebanyak 20 lori lima tan yang tersadai di kawasan Jedok dan turut menyalurkan bakul makanan kepada pemandu lori yang terjejas dan terkesan dengan pandemik Covid 19.
Menurut Zulkifli, difahamkan ada negeri lain membenarkan operasi kuari pasir, batu dan tanah sekali gus memberi nafas kepada pemandu lori di negeri berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, beliau hairan Kelantan masih tidak membenarkan operasi berkenaan menyebabkan lori yang beroperasi membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah di negeri ini terjejas hilang pendapatan mereka.
Katanya, dalam konteks PKP atau total lockdown, pemandu lori mampu mengikuti atau mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana pekerjaan mereka tidak membabitkan bilangan ramai.
“Jika keadaan ini berterusan, ia memberi kesan amat buruk kepada kehdupan pemandu lori serta keluarga mereka kerana hilang punca pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, ” katanya.
Seorang pemandu lori, Abdul Aziz Mamat, 67, dari Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau di sini, mengakui terjejas teruk untuk membayar ansuran bulanan lori kerana tidak ada punca pendapatan.
Bapa kepada enam anak itu berkata, sejak pelaksanaan PKP 3.0 susulan SPP, dua buah lorinya tersadai begitu sahaja di perkarangan rumah kerana operasi lori membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah masih tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini setakat kini.
“Saya hilang punca pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan dan sukar bagi saya untuk jelaskan ansuran bulanan untuk dua buah lori milik saya selain sara hidup keluarga.
“Malah saya juga perlu fikirkan nasib dan gaji pekerja yang turut terkesan selain saraan bulanan untuk keluarga kerana tidak ada punca pendapatan, ” katanya.
Bagi Nik Him Nik Deraman, 61, dari Kampung Bercang di sini, mengharapkan kerajaan melihat semula mengenai nasib pemandu lori seperti mereka yang cukul terkesan sekarang.
“Berapa lama lagi pemandu lori mampu bertahan dan saya harap kerajaan negeri menyegerakan kebenaran operasi lori untuk kuari pasir, batu dan tanah.
“Saya harap sektor kuari pasir, batu dan tanah dibenarkan beroperasi supaya pemandu lori tidak terus tekan dalam meneruskan kelangsungan hidup, ” katanya.