by Nor Shazleza Shahril
RANTAU PANJANG | Barangan kosmetik dan ubat-ubatan bernilai RM28,731 berjaya dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di sini, hari ini.
Kesemua barangan tersebut cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram Poksu Roni.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rampasan tersebut pada jam 12.10 tengah malam selepas ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah barangan seludup itu ketika membuat rondaan kaki di lokasi berkenaan.
“Walaubagaimanapun, sekumpulan lelaki berkenaan menyedari kehadiran anggota keselamatan bertindak melarikan diri dan meninggalkan barangan tersebut di lokasi dan terus menyeberangi Sungai Golok menghala ke Thailand dengan mengunakan perahu,”.
Tambah Azhari, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai pelbagai jenis barangan kosmetik dan ubat disyaki diseludup dari negara jiran.
“Kesemua barang rampasan dibawa balik ke balai polis berhampiran untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.