KUALA LUMPUR | Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang panas ketika ini.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pelantikan itu memberi nafas baru dan berupaya mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi kesan pandemik COVID-19.
Katanya, semua pihak perlu sedar rakyat memerhatikan apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.
“Saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka. “Saya pernah bekerja bersama Ismail Sabri ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan mengagumi kepimpinan beliau. Saya percaya beliau mempunyai kemampuan menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Hishammuddin juga mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.
“Mengambil kesempatan ini, saya turut ingin meminta bantuan Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.
“Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN