KOTA BHARU | Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sudah menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Perdana Menteri serta merta adalah untuk meruntuhkan Kerajaan Perikatan Nasional.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kenyataan itu adalah retorik politik semata-mata.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu tidak mempedulikan masalah kesihatan rakyat, kesejahteraan rakyat dan COVID-19 yang sedang melanda negara.
“Ianya juga tidak mempedulikan kesusahan yang dialami rakyat akibat COVID-19.
“Ahmad Zahid berpatah arang untuk meruntuhkan Kerajaan PN tanpa setitik mahu pun sebalut getar kasih sayang kepada rakyat yang sekarang menderita kesusahan. Ini kerana kerajaan PN tidak mencampuri urusan mahkamah beliau yang sudah dalam proses akhir untuk sabit kesalahan. Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Razak yang sudah disabit kesalahan di mahkamah.
“Nyawa Zahid dan Najib bergantung kepada campur tangan kerajaan untuk melepaskan mereka. Tanpa campur tangan kerajaan dan Perdana Menteri, kes mahkamah mereka akan berjalan seperti biasa dan keputusan biasa akan berlaku iaitu di hujung perbicaraan mereka akan didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-duanya tahu akan sampai satu peringkat mereka tidak boleh buat apa-apa lagi dan hanya bergantung harapan kepada kerajaan PN.
Menurutnya, mereka juga rasa sudah tidak ada harapan dan mereka terpaksa meruntuhkan kerajaan PN untuk menyelamatkan diri sendiri dan tidak memikirkan hal rakyat.
Pada perkembangan yang lain beliau berkata, kes COVID-19 di Selangor yang tinggi setiap hari disifatkan sebagai satu sabotaj kesihatan dan ekonomi kepada kerajaan PN.
“Kes COVID-19 yang tinggi di Selangor sehingga melebihi 4,000 kes hari ini memberi masalah kepada seluruh negara apabila rakyat tidak boleh keluar bekerja.
“Sedangkan kilang di Selangor dan Negeri Sembilan boleh bekerja seperti biasa. Sebenarnya mereka tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Tindakan mereka ini sekali gus menidakkan pekerja lain yang secara keseluruhan berjumlah 15 juta, sedangkan pekerja kilang di Selangor hanya 900,000 orang,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mereka juga menandakan tidak sensitif dan tidak peka kepada 15 juta pekerja lain apabila peniaga tidam dapat berniaga seperti biasa.