KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 telah berjaya merampas 5, 610 kilogram minyak masak paket polibeg bersubsidi, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Azanizam Affendi bin Juri, berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bermula jam 3 petang hingga 10 malam, semalam.
“Bertindak atas maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu telah mengesan pergerakan minyak masak paket 1kg bersubsidi dari pembungkus minyak masak berlesen yang disyaki bagi tujuan penyeludupan.
“Pasukan serbuan mengekori tiga buah kenderaan yang keluar dari premis pembungkus minyak masak di Tendong, Pasir Mas, menuju ke sempadan negara melibatkan dua buah kenderaan jenis Van Toyota Hiace dan sebuah kereta jenis Proton Saga,” katanya.
Azanizam Affendi berkata, pasukan serbuan telah mengekori tiga buah kenderaan yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut, namun ketiga-tiga pemandu telah berjaya melarikan diri apabila menyedari mereka diekori.
Katanya, Ketiga kenderaan yang ditahan telah diperiksa oleh pasukan serbuan berjaya menemui minyak masak paket 1kg bersubsidi di dalam dua buah Van Toyota Hiace dengan anggaran sebanyak 5100 kilogram dan anggaran sebanyak 510 kilogram di dalam kenderaan Proton Saga.
“Nilai rampasan keseluruhan barangan kawalan dianggarkan sebanyak RM 14,025.00 manakala nilai kenderaan yang disita sebanyak RM 100,000.00
“Pemeriksaan keatas bungkusan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang disita mempamerkan milik syarikat pembungkus lain dan disyaki pembungkus tersebut telah menggunakan jenama milik syarikat lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa serta siasatan juga mendapati jenama syarikat yang digunakan tersebut telah tidak operasi,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan tindakan yang dihasilkan dalam operasi ini adalah empat tindakan kes dan siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan operasi yang bermula jam 3.00 petang semalam berakhir pada jam 10.00 malam semalam,” katanya.