by Nor Shazleza Shahril
RANTAU PANJANG | Kakitangan sebuah hospital ditemui maut selepas kereta miliknya dipercayai terbabas masuk ke dalam paya dalam kejadian di Kampung Kuala Kwong, Jalan Lubok Stol-Rantau Panjang, jam 11.39 tengah hari, semalam.
Mangsa, Abdullah Taifur Mohd Yusoff, 40, disyaki hilang sejak Isnin apabila dia tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi menyebabkan keluarganya bimbang.
Adik kepada mangsa, Syukran Mohd Yusoff, 25, berkata sebelum mengetahui kejadian sebenar, salah seorang adik beradiknya turut membuat laporan polis melaporkan kehilangan arwah, namun tidak menyangka kejadian sebegitu menimpa abangnya.
“Arwah seorang yang sangat baik selain rapat dengan ibu, Che Zainun Che Daud, 64. Pemergiannya amat dirasai tetapi kami reda dan berdoa semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Syukran berkata jenazah abangnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Lembu, Salor, di Kota Bharu semalam, sebaik jenazah dituntut dari Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang kampung menyatakan menemui sebuah kereta terbabas masuk ke dalam paya di lokasi kejadian.
“Sebaik sampai di lokasi benar terdapat kereta jenis Perodua Myvi berwarna kuning di dalam paya sedalam tiga meter. Dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, kereta dapat diangkat dan menemui mangsa yang sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan, mangsa dipercayai dari arah Lalang Pepuyu ke Rantau Panjang sebelum kereta miliknya tidak dapat dikawal dan terbabas ke dalam paya berkenaan.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik HPM, dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa meninggal akibat lemas,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.