TAPAH | Parti MIC akan menunggu keputusan perbincangan di peringkat Barisan Nasional (BN) susulan UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata sebagai parti politik, ia adalah pendirian UMNO dan sebagai rakan kongsi beliau menghormati pendirian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Saya tetap hormat pendirian MKT UMNO, tetapi ia (perbincangan) harus diangkat kepada BN kerana semua wakil rakyat bukanlah wakil rakyat UMNO, MIC dan MCA, tetapi BN.
“Perkara ini harus dimuktamadkan di peringkat BN walaupun saya daripada MIC, bertanding sebagai Ahli Parlimen dengan watikah yang dikeluarkan oleh BN.”Begitu juga semua Ahli Parlimen di bawah BN, semua bertanding di atas parti masing-masing terikat di bawah BN,” katanya selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Dewan Gandhi di sini, hari ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah juga percaya perkara itu akan dibincangkan secara baik di peringkat BN, sebelum membuat keputusan muktamad.”Saya (kedudukan parti) belum pasti lagi. Buat masa ini kami masih menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin.
“Saya percaya kita boleh bincang dan membuat satu keputusan yang baik kerana negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang begitu teruk.
“Rakyat sedang menderita dan sepatutnya kita fokus lebih kepada kebajikan rakyat bukan politik untuk kepentingan diri,” katanya setakat ini masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai mesyuarat di peringkat BN.
BH sebelum ini melaporkan, UMNO juga menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat. SUMBER: BERITA HARIAN