KUALA LUMPUR | Badan bantuan kemanusiaan dan bukan kerajaan (NGO) disaran tidak membeli atau mendapatkan bekalan barang keperluan daripada peruncit untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Sebaliknya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan supaya mereka mendapatkan bekalan barang keperluan daripada pihak pemborong.
Ini berikutan, pembelian berlebihan daripada peruncit menyebabkan pengguna di kawasan berkenaan terputus bekalan dan terpaksa membeli daripada peruncit lain yang jauh sedikit atau menunggu sehingga bekalan baharu sampai.
“Kementerian telah mendapat maklumat bahawa beberapa barang keperluan seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula telah habis di sebuah peruncit di Seksyen 27 Shah Alam baru-baru ini akibat dibeli untuk tujuan bantuan kemanusiaan.
“Fenomena rak-rak kosong sesuatu barangan keperluan di sesebuah premis peruncit dibimbangi boleh membawa kepada reaksi negatif seperti pembelian panik di kalangan pengguna.
“Kerjasama daripada NGO dan Badan Bantuan Kemanusiaan amatlah diharapkan supaya tidak mewujudkan suasana yang tak stabil akibat salah faham terhadap bekalan dan harga barang keperluan,” kata kenyataan itu.
KPDNHEP ingin menyampaikan penghargaan dan rasa terima kasih atas wujudnya badan-badan bantuan kemanusian dan NGO semasa pendemik Covid19 dalam membantu mereka yang terkesan dengan Covid19 yang memerlukan bantuan terutama barang keperluan harian.
“Sumbangan ikhlas badan-badan kemanusian ini dalam menyantuni golongan tidak bernasib baik itu sangat disanjung tinggi; dari mencari golongan sasar, mengumpul dana, membeli barang keperluan dan mengagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Tamat