KOTA BHARU | Bagi meringankan beban penduduk yang memerlukan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menyampaikan bantuan menerusi Op Bantu kepada 10 penduduk di Penambang, Kedai Buloh dan beberapa lokasi lain di Jalan PCB semalam.
Bantuan itu disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Abdul Rahim berkata, bantuan itu diberikan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Kita harap bantuan itu dapat meringankan beban penduduk dan seterusnya boleh menyediakan makanan kepada keluarga.
“Bantuan itu akan dijalankan secara berperingkat bagi memastikan penduduk yang memerlukan mendapat sumbangan ini,” katanya yang menyampaikan sumbangan di Kampung Kedai Buloh di sini.
Beliau berkata, polis mengenal pasti penduduk yang sepatutnya menerima bantuan ini menerusi hasil rondaan pihak polis.
Katanya, pihaknya akan memastikan penduduk yang terjejas akan memperoleh bantuan.