KUALA LUMPUR | Tiga hari berturut-turut jumlah pemberian vaksin di negara ini melepasi 300,000 dos sehari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah pemberian dos sudah hampir mencapai angka 400,000 dos sehari.
Katanya, ianya adalah satu pencapaian yang baik ke arah pencapaian imuniti kelompok di Malaysia.
“Tiga hari berturut-turut, kadar pemberian vaksin telah mencatat angka lebih 300,000 dos sehari.
“Ia bermula pada 5 Julai lalu yang mencatat 313,761 dos, 6 Julai 340,043 dos dan semalam mencatat 375,842 dos.
“Selama tiga hari itu juga, angka yang dicatatkan adalah merupakan rekod baru pemberian dos dalam sehari,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semalam adalah rekod tertinggi pemberian dos sehari dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, jumlah yang terima dos pertama ialah 6,999,554 orang dan 3,036,807 orang juga terima dos kedua.
“Jumlah keseluruhan pemberian vaksin adalah lebih 10 juta,” katanya.