KOTA BHARU | Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Kelantan memberi sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada tujuh keluarga asnaf di Kampung Mentuan di sini, hari ini.
Bantuan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, polis trafik bukan sahaja bertugas di jalan raya, malah mereka turut tampil memberi bantuan kepada masyarakat bagi meringankan beban di musim pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
Katanya, sumbangan oleh pegawai dan anggota trafik itu dapat mengubah stigma masyarakat terhadap anggota polis trafik yang hanya bertugas untuk mencari kesalahan dan menyaman orang di jalan raya sahaja.
“Saman yang dikeluarkan itu hanya untuk mendidik supaya pengguna jalan raya menjadi lebih berdisiplin dan untuk mengelakkan kemalangan.
“Polis trafik juga suka tolong orang yang susah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada tujuh penduduk termasuk ibu tunggal, Suriana Zakaria, 44, di Kampung Mentuan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua JSPT, Superintendan Shuhaimi Jusoh.
Abdullah berkata, polis trafik juga manusia dan simpati dengan orang ramai, namun ketika bertugas mereka perlu tegas untuk memastikan semua pengguna jalan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Bantuan yang dihulurkan hari ini adalah hasil sumbangan dari pegawai dan anggota polis trafik serta rakan-rakan mereka,” katanya.