KUALA LUMPUR | Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertegas bahawa sasaran pingat untuk kontinjen negara di Sukan Olimpik 2020 hanya akan diumumkan seminggu sebelum temasya itu berlangsung.
Lapor Berita Harian, beliau berkata perlu mendapatkan segala maklumat atau gambaran yang menyeluruh termasuk mengadakan pertemuan dengan semua 30 atlet yang akan ke temasya itu bagi menentukan sasaran pingat yang realistik.
“Saya sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dua hari lalu ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang dan hari ini saya sudah berjumpa dengan semua jurulatih dan pengurus pasukan.
“Kemudian saya akan jumpa atlet sendiri pada Sabtu ini dan akhirnya saya akan bawa untuk maklumkan kepada Kabinet juga berkaitan perkembangan terkini atlet kita.”Saya tak nak buat pengumuman yang tak bersifat realistik, hanya bersifat syok sendiri. Insya-Allah dalam keadaan sukar, tertekan dan dihimpit dengan pelbagai cabaran, kita akan umumkan sasaran pingat yang bersifat realistik.
“Mudah-mudahan dengan segala persiapan atlet, sasaran yang diletakkan nanti dapat dicapai. Tapi paling penting kita kena bersama mereka kerana kejayaan di Olimpik bukan saja dibahu mereka saja, tapi kita semua,” katanya.
Reezal berkata demikian pada sidang media secara maya selepas mengadakan perjumpaan bersama pengurus pasukan, jurulatih dan sekretariat Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selain itu, Reezal turut mengakui tiada kebimbangan yang disuarakan jurulatih atau pengurus pasukan walaupun persiapan atlet kali ini berdepan kesukaran berikutan pandemik COVID-19.
“Sejujurnya bila jumpa dengan mereka, tiada seorang pun berikan kebimbangan. Tapi mereka sangat optimis, sangat positif, dan mereka sangat gembira dengan anak didik mereka,” katanya.
Tamat