KUALA LUMPUR | Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Sukan SEA 2021 yang sepatutnya berlangsung hujung November depan terpaksa ditunda ke tahun depan.
Lapor Berita Harian, keputusan terbabit dicapai selepas mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersama 10 negara bersetuju dengan penundaan itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan daripada penganjur yang sehingga kini belum mendapat kata putus daripada kerajaan Vietnam.
“Buat masa ini mereka (penganjur) masih lagi belum mendapat keputusan daripada pihak kerajaan Vietnam, namun saya cadangkan kepada mesyuarat itu (untuk menunda Sukan SEA).”Ia kerana melihat kepada lenggok Vietnam, mereka nampak tidak mahu mengadakan Sukan SEA pada tahun ini. Kedua, kita juga melihat kes COVID-19 di Asia Tenggara masih lagi belum menunjukkan penurunan.
“Bagi pihak Malaysia, kita memberi pendekatan, pandangan atau pendirian bahawa hanya tempoh yang boleh diterima buat Malaysia adalah pada hujung April atau awal Mei (2022) kerana tarikh itu saja kita boleh buat persiapan untuk Sukan SEA.
“Kita beri masa kepada Vietnam mungkin dalam 10 hingga 14 hari untuk kembali dengan tarikh (baharu) yang akan dipersetujui pada 2022,” katanya.
Norza berkata demikian ketika sidang akhbar Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang diadakan secara maya sempena mesyuarat bersama pengurus pasukan, jurulatih dan sekretariat Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Tamat