KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak tuduhan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan gagal memenuhi aspirasi rakyat sebaliknya menganggap ia sekadar ulang suara tohmahan yang sering disebut pembangkang terutama PKR dan DAP.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pelbagai bentuk bantuan diberikan kerajaan dalam rangka membela nasib rakyat membina semula ekonomi negara dengan peruntukkan keseluruhan melebihi RM500 bilion setakat ini.
Menurutnya, tidak pernah ada pakej bantuan yang lebih tinggi daripada apa yang dikeluarkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, baik dari segi menjaga kebajikan rakyat mahupun memberi suntikan kepada pembinaan semula ekonomi.
“Pelan Pemulihan Negara menggariskan dengan jelas strategi untuk membawa negara keluar daripada belenggu wabak COVID-19. Vaksinasi menjadi senjata utama kita, dan pada penghujung Julai bekalan vaksin yang kita terima akan meningkat ke 16 juta dos.
“Dari segi menjaga kebajikan, kesihatan rakyat, dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan. Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Wan Saiful berkata, Bersatu berpandangan bahawa dalam situasi ini, Ahmad Zahid sendiri yang sebenarnya telah gagal untuk menjaga perpaduan dan kebersamaan di kalangan parti politik Melayu-Islam.
Malah, Presiden UMNO itu turut gagal memahami bahawa rakyat menuntut sebuah kerajaan yang prihatin dan mendahulukan keperluan rakyat, selain tidak memahami bahawa rakyat semakin muak dengan politik berlebihan.
“Beliau (Ahmad Zahid) gagal memanfaatkan sebegitu ramai tokoh UMNO yang berada dalam kerajaan untuk kita semua bersama-sama memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat, dan gagal meletakkan agenda rakyat lebih tinggi daripada agenda peribadi.
“Pengumuman yang dibuat Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada ahli-ahli parlimen,” katanya.
Justeru, katanya, Bersatu berdiri teguh mendokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selain mengambil sikap untuk meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat.
“BERSATU sentiasa berpegang teguh dengan prinsip ketelusan, bebas rasuah, berintegriti dan menghormati kedaulatan undang-undang. Bersatu tidak sekali-kali akan bersetuju dengan sebarang ugutan atau tuntutan untuk mencampuri urusan mahkamah untuk apa-apa tujuan sekalipun,” katanya.