MELAKA | Kegiatan tidak bertanggungjawab sebuah agensi pekerjaan warga asing membawa 51 individu positif Covid-19 masuk ke negeri ini untuk bekerja terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kilang pemprosesan makanan di Ayer Keroh, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, maklumat awal diterima pada 1 Julai dan serbuan dilakukan pada Isnin lalu untuk mengesan kesemua warga asing yang terlibat.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan seramai 79 pekerja warga asing berusia 26 hingga 45 tahun itu dibawa oleh agensi tersebut dengan 51 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“Hasil siasatan awal, kesemua tenaga kerja itu dibawa masuk ke negeri ini dengan menaiki bas oleh sebuah syarikat agensi pekerja warga asing yang berdaftar di Petaling Jaya, Selangor.
“Pekerja tersebut dibawa dari beberapa buah negeri di Semenanjung untuk bekerja secara kontrak selama tiga bulan di sebuah kilang pemprosesan makanan di Ayer Kerohi,” katanya ketika dihubungi Utusan Online..
Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat tersebut mempunyai dokumen lengkap bagi perjalanan rentas negeri.
“Bagaimanapun, kita dapati syarikat tersebut gagal melakukan saringan terhadap kesemua pekerja warga asing tersebut sebelum dibawa ke negeri ini seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP).
“Bagi kesalahan itu, kita telah memanggil wakil pihak pengurus syarikat berkenaan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua pekerja warga asing yang positif Covid-19 telah di kuarantin di sebuah hotel di Banda Hilir di sini.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana dengan niat jahat untuk merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – UTUSAN ONLINE