KOTA BHARU | “Adik dah tak tahan, biar adik pergi dulu,” Itulah kata-kata sering diungkapkan adik Syaidatul Syafiqah Sarah Diana binti Ramli berusia 16 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima.
Kata-kata itulah yang sering dituturkan Syaidatil Syafiqah Sarah Diana ketika dia tidak dapat menahan kesengsaraan dialaminya.
Cerita itu dikongsikan kakaknya, Roslinda Zalina binti Ramli, 32, kerana sudah empat tahun dia menderita ditambah pula dengan gegendang telinganya turut pecah.
Roslinda Zalina berkata, penderitaan anak ketujuh dari lapan beradik itu bermula ketika dia bersekolah darjah enam lagi disebabkan tabiatnya suka menahan kencing.
“Dia selalu cakap dia sakit dia akan pergi dulu. Dia jugak sering hubungi kakak-kakak dan minta maaf dengan kami. Sebagai kakak kami juga sedih, tapi saya selalu bagi kata-kata semangat supaya dia kuat untuk lawan penyakit dia,” katanya ketika ditemui di Kampung Kayu Rendang Melor.
Kongsinya lagi, adiknya juga bergantung kepada ubat yang mana setiap hari dia perlu menelan 25 biji uba dan sekiranya tidak mengikut sukatan dia akan diserang sawan.
Katanya juga, dia bergilir menjaga adiknya bersama seorang lagi adik beradiknya kerana ibunya juga seorang ibu tunggal perlu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital di Kota Bharu.
Tambahnya, adiknya juga perlu melakukan rawatan ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD) sebanyak empat kali sehari di rumahnya yang memerlukan persekitaran bilik sangat bersih.
Disebabkan kesempitan hidup, mereka tidak mampu menyediakan bilik dengan sempurna dan dengan bermodalkan duit sumbangan adik-beradik serta gaji ibu sebagai tukang cuci itulah mereka membeli papan lapis menyediakan bilik CAPD untuk Syaidatil Syafiqah Sarah Diana.
“Bahagian atas kami tutup guna papan lapis sebab nak elak debu. Bilik dia kena betul-betul bersih. Kami terpaksalah demi kesihatan adik,” katanya.
Katanya, ibunya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan tetapi masih belum mencukupi kerana perlu membeli lampin pakai buang dan keperluan Syaidatil Syafiqah Sarah Diana.
“Adik pula guna dua keping setiap kali pakai lampin, dia tak selesa kalau guna sekeping sahaja,” katanya.
Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diwakili Pegawai Komunikasi Korporat, Muhamad Firdaus Mat Rahim.
MAIK turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan kepada keluarga tersebut manakala mempertimbangkan membina bilik baharu untuk rawatan Syaidatil Syafiqah Sarah Diana.
Roslinda Zalina juga memberitahu adiknya juga menghadapi masalah penglihatan dan kedua-dua matanya sudah tidak dapat melihat kesan daripada penyakitnya itu.
Keadaan dia juga semakin lemah, mungkin kerana disebabkan penglihatannya dan Journal Malaysia mendoakan agar ALLAH SWT memberikan kesembuhan kepada keluarga ini.
Katanya juga adik beradiknya mampu membantu sekadar yang termampu kerana masing-masing sudah berkeluarga dan suami hanya bekerja kampung.
“Saya mengucapkan terima kasihlah kepada pembayar zakat dan juga MAIK kerana menziarahi kami dan turut menyampaikan bantuan,” katanya.