SHAH ALAM | Berlaku sedikit kekeliruan berkenaan situasi sebenar di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam yang dimuat naik, semalam.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Facebooknya memaklumkan ketiga-tiga gambar yang dikongsi KKM adalah diambil pada hari yang sama iatu pada Khamis, 8 Julai.
Katanya, situasi di sebelah pagi adalah terkawal dan lengang.
“Namun, situasi mula sesak pada waktu tengah hari dengan kehadiran positif COVID-19 untuk penilaian lanjut.
“Sebahagian besar pesakit COVID-19 pada hari berkenaan dari kategori satu dan dua. Sehubungan itu, individu positif dinasihatkan datang pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan kerana proses penilaian juga mengambil sedikit masa.
“Kami memohon maaf atas kekeliruan sehingga menimbulkan salah faham orang ramai terutama petugas-petugas kesihatan di lapangan,” katanya hari ini.