SHAH ALAM | Polis berjaya merampas dadah bernilai RM44 juta menerusi 10 serbuan di sekitar Selangor.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menahan 14 ahli sindiket pengedaran dadah.
Katanya, polis merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis Syabu, 863 slab disyaki heroin base dan 2,000 biji pil disyaki erimin 5.
“Nilai rampasan dadah ini dianggarkan RM 44 juta. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 25,522,500 orang penagih dadah.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucut hakan Harta) 1988 di mana pelbagai aset sindiket dengan anggaran bernilai RM 477,709.21 telah disita,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan sidang media secara maya. Turut hadir dalam sidang media, Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/ Perundangan/Tahanan), Datuk Abdul Aziz Abdul Majid dan Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), DCP Zainudin Ahmad.
“Kami menyeru kepada orang ramai jika mempunyai sebarang maklumat tentang pengedaran dadah, sila hantarkan WhatsApp ke Hotline JSJN di talian 012-2087222 (beroperasi 24 jam) dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.