KUALA LUMPUR | Zon pengurusan bencana atau disaster management zone (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) beroperasi sepenuhnya hari ini bagi menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di Lembag Klang.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata persiapan DMZ yang ditempatkan di parkir bawah tanah HATTM sudah dilakukan sepenuhnya, semalam yang turut dibantu Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Katanya, ruang pakir berkenaan sememangnya sudah digazetkan sebagai DMZ yang direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan bagi menghadapi kes bencana kimia dan biologi.
“Ia juga disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan dari aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan yang mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti yang bersesuaian.
“DMZ yang berkeupayaan menyediakan 50 katil tambahan ini diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Memerintah HATM, Brigedier Jeneral Datuk Dr Rosman Ab Rahman dan Lt Kol Dr Mohamad Azlan Arrifin sebagai Komander Operasi DMZ tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Terdahalu, Affendi membuat tinjauan di HATTM, hari ini bagi melihat persiapan hospital berkenaan dalam menyediakan DMZ yang turut diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.
Tamat