PUTRAJAYA | Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Berkongsi menerusi facebooknya, beliau akan melaksanakan tanggungjawab baharunya dengan baik.
“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai.
“Insya Allah, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya hari ini.
Dua hari lalu, Ahli Parlimen Bera itu dilantik Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan ketika ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
Perkongsian Ismail Sabri itu juga turut menerima ucapan tahniah dan diiringi doa daripada netizen.
Seorang pelayar yang menggunakan nama Siti Fatimah Kepar mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan dala masa sama mahukan beliau mendahulukan kepentingan rakyat.
“Tahniah DSIS.. Selamat menjalankan tugas dan tanggungjawab. Dahulukan kepentingan rakyat daripadapolitik. Ramai rakyat menderita dengan keadaaan negara sekarang. Semoga Allah SWT terus memberkati niat dan usaha Datuk Seri,” tulisnya.
Seorang lagi netizen, Mohd Tajuddin Abdullah dan juga Noor Shayaumil Qhairil Ermann turut mengucapkan tahniah serta mendoakan ALLAH SWT mempermudahkan segara urusan.
Dalam masa sama, tulis warga maya meminta supaya kilang-kilang ditutup untuk mengekang peningkatan jumlah kes harian COVID-19.
Untuk rekod semalam, Malaysia mencatatkan 8,868 kes COVID-19.