PUTRAJAYA | Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) kali pertama bersidang secara sidang video hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat berkenaan bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts).
Menurutnya, itu adalah untuk mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital serta strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia.
“Penglibatan kumpulan profesional, terutamanya pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi, dalam pengurusan pandemik COVID-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.
“Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran- cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.
“Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif,” katanya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kanan Luar Negeri; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Kanan Pendidikan; Menteri Kewangan; Menteri Sains dan Teknologi dan Menteri Kesihatan.
Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan turut serta dalam mesyuarat itu.
JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut COVID-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.
Kenyataan juga menyebut, bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha Kementerian serta Agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN.
Turut dimaklumkan, Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju melantik Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi PPN.
Beliau bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.