PUTRAJAYA | Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyokong penuh Inisiatif Sempadan Hijau Kerajaan Negeri Pahang yang akan melibatkan pewartaan sebahagian besar sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menteri KETSA, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif ini adalah selari dengan Dasar Perhutanan Malaysia yang mengiktiraf hutan sebagai khazanah warisan negara.
Katanya, ia juga memenuhi ketetapan yang telah dibuat dalam Majlis Tanah Negara supaya Kerajaan Negeri meningkatkan usaha untuk meningkatkan kawasan berhutan.
“Pelaksanaan Inisiatif Sempadan Hijau dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini adalah satu bukti komitmen tinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri berkenaan. Secara tidak langsung juga ianya dapat membetulkan persepsi negatif terhadap pengurusan kepelbagaian biologi di peringkat negeri.
“Inisiatif Sempadan Hijau akan menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50%, daripada keluasan tanah dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok seperti yang dipersetujui di dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janerio pada tahun 1992 serta Persidangan Parti Ke-15 Kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15-UNFCCC) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009,” katanya.
Shamsul berkata, kawasan-kawasan yang akan diwartakan sebagai HSK di bawah inisiatif ini akan dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 10(b) hingga 10(1), Akta Perhutanan Negara 1984.
Katanya, kawasan-kawasan tersebut juga akan disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu melalui Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Kawasan Larangan Memburu) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 7161.
“Pada masa ini, kebanyakan HSK sedia ada di Negeri Pahang telahpun disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu di bawah Perintah yang sama.
“Pewartaan HSK sebagai kawasan perlindungan hidupan liar sepenuhnya di bawah Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara (Akta 313), bukan sahaja akan mernberi perlindungan kepada spesies apex Harimau Malaya (melalui pengisytiharan satu Santuari Harimau Malaya Negeri Pahang), tetapi mampu memberi perlindungan habitat kepada semua spesies hidupan liar dan keseimbangan ekosistem,” katanya.
Menurutnya, KeTSA amat menghargai usaha Kerajaan Negeri dalam menyegerakan pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini dengan penanaman pokok-pokok yang bersesuaian.
Ujarnya, KeTSA bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan sentiasa memberi sokongan melalui Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Pahang untuk membantu menyegerakan pemulihan kawasan rizab berkenaan melalui aktiviti penanaman pokok di kawasan perlombongan seluas 200 hektar menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH).
“Diharapkan dengan usaha ini, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.
“KeTSA akan sentiasa memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Pahang dalam menjayakan inisiatif dan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta kepelbagaian biologinya agar khazanah negara yang bernilai tinggi ini sentiasa terpelihara demi faedah generasi masa kini dan akan datang,” katanya.