KUALA LUMPUR | Pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang tamat sesi akademik dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sama ada menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan atau kenderaan sendiri, bermula Isnin ini.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan semalam berikutan cuti semester bermula Julai hingga Oktober depan.
Menurut kenyataan itu, beberapa mekanisme kawalan pergerakan pelajar di IPT ditetapkan secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal.
“Bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Pergerakan pelajar di dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tersebut tamat.
“Kementerian telah menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh IPT masing-masing dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan namun ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang,” kata kenyataan itu.
Bagi pelajar yang pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan, kenyataan itu memaklumkan kos ujian calitan (swab test) RT-PCR akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan manakala kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing.
“Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah menjadi keutamaan KPT ketika pergerakan pelajar berlangsung.
“Pihak yang terlibat boleh merujuk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan FAQ Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan perincian maklumat berkenaan pergerakan pelajar,” katanya.
Tamat