KUCHING | Lima lelaki ditahan dalam satu serbuan Bersepadu Op Dadu Khas yang dilakukan kerana menjalankan kegiatan bookie bola dan juga judi atas talian.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan semalam di sebuah kawasan perumahan mewah di Jalan Stutong, Kuching.
Katanya, mereka yang ditangkap berusia lingkungan 17 hingga 5 tahun.
“Mereka ditahan kerana terlibat sebagai operator dalam menjalankan pengoperasian melibatkan pertaruhan bola kejohanan Euro 2020 yang telah bermula sejak pertengahan Jun lepas. Selain daripada itu, kesemua suspek juga disyaki terlibat dalam kegiatan judi online.
“Pusat ini menganjurkan pertaruhan bola melibatkan beberapa kawasan, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah membuat keuntungan lebih kurang RM40,000 bagi kegiatan bookie dan RM60,000 sebulan dalam aktiviti judi online,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan operasi bookie bola dan juga judi online.
“Antara yang dirampas, satu set komputer,sebuah Ipad jenama Apple, lima buah telefon bimbit jenis Iphone, sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan pelbagai lagi peranti lain.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda maksimum sehingga rm200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun, dan juga seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda rm5000 hingga rm50,000 dan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.
Ahsmon berkata, selain pendakwaan di mahkamah, pihaknya juga akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik di setiap premis yang telah diserbu di samping tindakan di mengikut Undang-Undang Pencegahan (POCA).
“Kegiatan ini merugikan ekonomi negara dalam aspek hasil lesen dan cukai pendapatan,” katanya.