KUALA LUMPUR | Negara akan kehilangan satu generasi bakal pakar, konsultan, perunding dalam aspek perubatan serta pembedahan jika agensi terbabit terus mengabaikan penawaran program siswazah kepada doktor pelatih.
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata difahamkan isu doktor kontrak ini terlalu parah dan memerlukan perhatian segera pihak kerajaan walaupun kontrak mereka disambungkan sehingga akhir tahun depan.
Beliau berpendapat bahawa pentingnya doktor kontrak ditempatkan dalam kaedah yang tertentu selain perlu diberi ruang untuk menyambung belajar program siswazah di universiti tempatan.
“Kita tidak boleh mengabaikan masa depan sistem kesihatan kita. Siapa akan susah jika generasi mereka akan hilang?.
“Ketidak-tentuan prospek perkembangan kerjaya perubatan, ramai yang belajar di luar negara dengan biasiswa kerajaan memilih untuk bayar penalti dan sambung bekerja di sana.
“Mereka berpendapat ketidak-tentuan kerjaya di sini menghalang mereka balik ke negara kita untuk berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polisi penawaran dan pembelajaran program siswazah yang diamalkan sekarang memberi ruang kepada pengurangan pegawai pakar dalam pelbagai bidang terutama di kawasan pendalaman menyebabkan masyarakat kawasan itu terpaksa berjalan jauh untuk dapatkan khidmat pakar.
Katanya, berdasarkan data daripada Institut Penyelidikan Perubatan, secara purata hanya mempunyai 3.9 pegawai pakar bagi 10,000 rakyat berbanding 14.3 pegawai pakar bagi 10,000 rakyat di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun 2018.
“Ramai yang bertanggapan bahawa kita tidak perlu jumah doktor perubatan yang banyak di Malaysia sedangkan pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa pentingnya sebuah sistem kesihatan yang mempunyai pegawai dan peralatan kesihatan yang lebih dari secukupnya.
“Kita berjanji akan membawa isu doktor pelatih ini kepada perhatian Perdana Menteri dan diharap kerajaan Perikatan Nasional akan mengutamakan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka ini,” katanya.
Tamat