KUALA LUMPUR | Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mencadangkan supaya Festival Filem Malaysia Ke 31 (FFM31) ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang masih berada dalam keadaan membimbangkan.
Presidennya, Pansha berkata, adalah lebih wajar peruntukan FFM31 sama ada besar atau kecil disediakan kerajaan itu dapat dimanafaatkan dengan menyegerakan dan menambah lagi program yang dapat membantu penggiat seni secara keseluruhan seperti mengambil vaksin dan lain-lain.
Menurutnya, PFM amat memahami FINAS bukan badan agensi kebajikan rakyat dan tertakluk kepada Akta 244.
“Dalam kesinambungan usaha dan fokus Kerajaan Malaysia “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid19” adalah lebih wajar peruntukan FFM31 sama ada besar atau kecil ini dapat dimanafaatkan, dapat membantu penggiat seni secara keseluruhan seperti mengambil vaksin dan lain-lain.
“Keutamaan adalah meningkatkan semula ekonomi bagi keseluruhan penggiat seni tanpa mengira bangsa, agama dan kefahaman politik, dapat bekerja seperti biasa dan tidak hanya bergantung kepada subsidi Kerajaan.
“Sehubungan itu, PFM sebagai pihak yang berkepentingan dalam pembangunan Industri Perfileman Tempatan dan mewakil Industri Perfileman Tempatan memohon FFM31 ditangguhkan kepada masa dan keadaan yang lebih sesuai atau ke tahun hadapan,” katanya hari ini.
Dalam masa sama, beliau amat berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang sentiasa perihatin dan telah banyak membantu dalam pembangunan Industri Perfileman Tempatan.
Katanya, bermula tahun 1980 Festival Filem Malaysia (FFM) telah dianjurkan bersama industri melalui Jawatankuasa Induk FFM yang ditubuhkan terdiri dari wakil Persatuan Perfileman Tempatan seperti PFM, FDAM, SENIMAN, PROFIMA dan lain-lain.
“Bagi meraikan kejayaan penggiat seni industri serta pengiktirafan dari Kerajaan dan sokongan industri. Perkara ini perlu diperbincangkan secara terperinci bersama industri demi kebaikkan bersama. Bukan sahaja untuk glamour, festival ilmiah ini juga akan memberi objektif keperluan semasa yang dapat dirasakan oleh industri.
“Ahli Jawatankuasa PFM telah mengambil pandangan dan pendapat dari kalangan ahli PFM penerbit filem tempatan dan penggiat seni.
“Kesesuaian untuk menganjurkan FFM31 pada tahun ini yang penuh dengan keperitan akibat impak Covid-19 dan kesusahan dalam mencari pendapatan sara hidup penggiat seni disambut hambar oleh majoriti penggiat seni,” katanya.
Tambahnya, lagipun sehingga kini keperluan utama untuk menjalankan aktiviti penggambaran masih belum dapat dilaksanakan.
“Sudah tentunya proses pembangunan filem melalui kerja berpasukan, bayangkan bagaimana kita ingin meraikan segelintir yang berjaya dalam majoriti penggiat seni menghadapi keperitan untuk sara hidup.
“Negara lain yang telah melaksanakan festival filem mereka adalah jauh berbeza dengan keadaan semasa yang telah berlaku di Malaysia,” katanya.