KUALA LUMPUR | Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mempersoalkan tindakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang masih mencari keuntungan dengan memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin, ketika rakyat terkesan dengan pandemik.
Presidennya, Adnan Mat, berkata sebaliknya LPPSA dilihat memekakkan telinga dalam isu pemberian moratorium perumahan penjawat awam.
Katanya, Program LPPSA i-Prihatin adalah kerjasama antara LPPSA dan syarikat insurans bermula hari ini yang menawarkan perlindungan tambahan kemalangan diri berkelompok dengan kadar bayaran premium sebanyak RM100 setahun.
“Walaupun program ini menawarkan perlindungan tambahan, CUEPACS merasakan kononnya ‘prihatin’ tetapi tetap mengenakan bayaran langsung tidak mencerminkan keprihatinan LPPSA untuk bersolidariti membantu rakyat yang terkesan.
“Sedangkan semua pembiayaan perumahan yang diluluskan LPPSA telah dikenakan caj insurans yang agak tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
“Mengapa perlu menjual perlindungan tambahan sekiranya ia boleh dimasukkan dalam perlindungan insurans sedia ada?,” soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini ramai penjawat awam bising mengenai caj insurans pembiayaan perumahan LPPSA yang tinggi dan membebankan, namun isu masih tiada penyelesaian baik sehingga kini.
Katanya, sepatutnya LPPSA perlu menjadi badan yang mengurus pinjaman perumahan penjawat awam dengan lebih baik, murah dan tidak mengenakan caj insurans membebankan.
“Tindakan LPPSA memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin seperti mahu mengambil keuntungan secara berselindung daripada penjawat awam sedangkan perlindungan kemalangan diri boleh diperoleh lebih murah di pasaran.
“Justeru, CUEPACS menyarankan LPPSA menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sama seperti dilaksanakan bank swasta di bawah selian Bank Negara.
“Diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Daripada memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin yang hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu, lebih baik LPPSA mempertimbangkan pemberian moratorium kepada penjawat awam,” katanya.