KUALA LUMPUR | Kerajaan menyalurkan RM15.67 bilion di bawah Program Subsidi Upah (PSU) yang memberi kemudahan kepada 2.74 juta pekerja dan 333,533 majikan di seluruh negara.
Lapor Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata semua sektor sudah mendapat manfaat daripada program ini bermula PSU 1.0 hingga PSU 3.0.
Beliau berkata, selepas pengumuman PSU 4.0, jumlah peruntukan untuk program itu dijangka meningkat kepada RM15.82 bilion.
Katanya, permohonan PSU 4.0 akan dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 Oktober ini dan pembayaran akan dilakukan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari daripada tarikh diluluskan. “Majikan boleh memohon subsidi sebanyak RM600 sebulan untuk semua pekerja tempatan tanpa had gaji, terhad kepada 500 pekerja bagi satu perusahaan.
“Menerusi PSU 4.0, majikan juga diminta memasukkan maklumat subsidi dalam slip gaji pekerja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohammed Azman berkata, bagi dua bulan pertama mulai 1 Ogos INI, PSU 4.0 akan dibuka kepada majikan di semua sektor ekonomi yang pendapatannya terjejas sekurang-kurangnya 30 peratus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, untuk dua bulan berikutnya, subsidi akan diberikan secara khusus kepada sektor dikategorikan dalam senarai negatif yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM3.8 bilion untuk PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan 242,000 majikan di seluruh negara.